bg-image

Kelulusan Untuk Pepasangan Paip Gas

Peraturan 15(1) Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997 menetapkan bahawa Kelulusan untuk Memasang hendaklah diperolehi dari Suruhanjaya Tenaga sebelum mana-mana pihak memulakan kerja pada pepasangan gas baru atau tambahan.

Secara prinsipnya semua kod berkaitan dalam merekabentuk sistem talian paip dan pepasangan gas adalah diterimapakai oleh Suruhanjaya Tenaga. Kod rekabentuk yang perlu digunakan sebagai asas ialah:

  • MS 830: Malaysian Code of Practice for the Storage, Handling and Transportation of Liquefied Petroleum Gas.
  • MS 930: Malaysian Code of Practice for the Installation of Fuel Gas Piping Systems and Appliances.
  • ANSI/ ASME B 31.8: American National Standard for Gas Transmission and Distribution Piping Systems.

Nota: Bagi kes-kes tertentu yang melibatkan kerja-kerja pada pepasangan gas yang tidak diliputi oleh kod-kod di atas, kod-kod lain yang diiktiraf oleh industri gas boleh dipertimbangkan untuk digunapakai.

Syarat-syarat untuk mendapatkan Kelulusan untuk Memasang

1. Melengkapkan borang JG 8 serta mengemukakan satu set dokumen sokongan lengkap seperti berikut:

a) Perkiraan dan lukisan rekabentuk bagi sistem penstoran dan perpaipan gas yang diperakukan oleh Orang Kompeten;
b) Spesifikasi teknikal bagi komponen-komponen sistem perpaipan gas;
c) Salinan perakuan pendaftaran Kontraktor Gas dan Orang Kompeten.
d) Salinan sijil kelayakan pengimpal.
e) Prosedur kerja selamat bagi kerja-kerja hot work (jika berkenaan).
f)  Surat Kebenaran Izin Lalu (jika bekenaan).

2. Rekabentuk dan pembinaan sistem talian paip gas mematuhi kehendak-kehendak keselamatan dan teknikal yang ditetapkan oleh Akta Bekalan Gas 1993, Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, Garispanduan dan Pekeliling Suruhanjaya Tenaga dan standard-standard yang berkaitan.

3. Kontraktor Gas dan Orang Kompeten Gas mempunyai perakuan pendaftaran yang sah dan layak menjalankan kerja mengikut kelas pepasangan gas yang terbabit.

4. Gegasan, perkakas dan kelengkapan gas yang akan dipasang adalah dari jenis/model yang telah diluluskan oleh Surahanjaya Tenaga;

5. Kerja-kerja kimpalan paip dilaksanakan oleh pengimpal yang bertauliah.

6. Setiap permohonan bagi Kelulusan untuk memasang akan diproses dan kelulusannya akan dikeluarkan dalam tempoh tiga minggu setelah permohonan lengkap diterima.