PANDUAN MEMBUAT PENDEDAHAN/ PELAPORAN

TAKRIFAN

"Kelakuan Tidak Wajar" ertinya apa-apa kelakuan, aduan, maklumat, pendedahan yang jika terbukti, menjadi suatu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah (selepas ini dikenali sebagai KTW);

"Maklumat Sulit" termasuklah—

 

i. maklumat tentang identiti, pekerjaan, alamat kediaman, alamat kerja atau tempat beradanya—
  (a)  seseorang pemberi maklumat; dan
  (b)  seseorang yang terhadapnya seseorang pemberi maklumat telah membuat pendedahan KTW
ii. maklumat yang didedahkan oleh seseorang pemberi maklumat; dan
iii. maklumat yang, jika didedahkan, boleh menyebabkan mudarat kepada mana-mana orang;


“Pegawai Diberi Kuasa” ertinya mana-mana pegawai Suruhanjaya Tenaga yang dilantik dan mempunyai kuasa untuk melakukan penyiasatan dan penguatkuasaan.

 

MEMBUAT ADUAN

Pelaporan

i. Bagi pendedahan yang dibuat secara bersemuka, pemberi maklumat perlu hadir di mana-mana tempat yang difikirkan bersesuaian dan selamat yang dipersetujui bagi mendapatkan maklumat tentang aduan yang inigin dibuat.
ii. Bagi pendedahan yang dibuat secara e-mel, sistem aduan integriti dan surat, pengendalian dan akses kepada maklumat tersebut hendaklah dikendalikan hanya oleh Pegawai Diberi Kuasa.
iii. Pemberi maklumat diminta untuk tampil secara bersemuka atau dihubungi (mengikut keadaan yang bersesuaian) untuk mendapatkan maklumat atau keterangan lanjut sekiranya pendedahan yang diberikan olehnya perlu disiasat dengan lebih lanjut.
iv. Pemberi maklumat tampil dengan apa-apa pendedahan sama ada secara lisan atau dokumen di mana, dengan niat baik dan berasaskan alasan yang munasabah, beliau percaya yang sesuatu kesalahan / salah laku dijangka berlaku, sedang berlaku atau sudah berlaku.
v. Pendedahan boleh dibuat oleh pemberi maklumat pada bila-bila masa selepas mendapat maklumat atau dokumen yang berkenaan.
vi. Sekiranya pemberi maklumat pernah atau sedang terlibat dalam kesalahan/salah laku bagi pendedahan yang akan dibuat oleh beliau, pemberi maklumat perlu membuat pendedahan dan pengakuan dengan sukarela dan pemberi maklumat akan diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk dilindungi di bawah dasar ini.


Percanggahan Kepentingan

Satu Pendedahan boleh dibuat secara terus kepada Ketua Unit Integriti dalam antara mana-mana dua keadaan berikut:

(a) Bila mana pendedahan itu melibatkan kesalahan/salah laku oleh Pegawai Diberi Kuasa; atau
(b) Bila mana pendedahan itu tidak melibatkan Pegawai Diberi Kuasa tetapi Pemberi Maklumat percaya bahawa Pegawai Diberi Kuasa ada kepentingan peribadi dengan mana-mana orang yang terlibat dengan kesalahan/salah laku dalam pendedahan tersebut.
(c) Dalam mana-mana dua keadaan di atas, Ketua Unit Integriti boleh mengecualikan Pegawai Diberi Kuasa daripada mengendalikan pendedahan tersebut dan melantik mana-mana pegawai yang difikirkan bersesuaian dan layak sebagai Pegawai Diberi Kuasa Khas untuk mengendalikan pendedahan tersebut dan melindungi pemberi maklumat di bawah dasar ini.


Sekiranya pendedahan melibatkan Ketua Unit Integriti, pemberi maklumat boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Diberi Kuasa dan Pegawai Diberi Kuasa hendaklah terus menyalurkan maklumat /pendedahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif tanpa perlu merujuk kepada Ketua Unit Integriti terlebih dahulu.

 

Tatacara Penerimaan Aduan/ Maklumat/ Pendedahan
1. Pegawai Diberi Kuasa akan menapis dan menilai maklumat/pendedahan itu untuk memastikan samada maklumat / pendedahan yang diterima adalah lengkap dan berasas. Manakala kesalahan/salah laku pula adalah di bawah peruntukan undang-undang di bawah kawal selia Suruhanjaya Tenaga.
2. Selanjutnya, Pegawai Diberi Kuasa akan menyediakan laporan awal dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh Pegawai Diberi Kuasa menerima maklumat/pendedahan itu.

 

Tatacara Penilaian Aduan/ Maklumat/ Pendedahan

1. Laporan awal akan mengandungi cadangan dan syor tetapi tidak terhad kepada yang berikut:

(a) Pendedahan ditolak kerana tidak berasas, maklumat palsu atau maklumat tidak mencukupi;
(b) Pendedahan dipertimbangkan untuk diambil tindakan di bawah mana-mana tatacara dalaman lain yang difikirkan bersesuaian;
(c) Mengarahkan suatu penyiasatan lanjut ke atas pendedahan tersebut;
(d) Rujukan kepada polis atau mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan.

 

i. Sekiranya aduan/ maklumat pendedahan yang diterima adalah terjumlah kepada suatu kesalahan jenayah, maka ia akan dirujuk kepada mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan contohnya pihak PDRM / SPRM dan lain-lain; atau
ii. Sekiranya aduan/ maklumat pendedahan yang diterima berkaitan dengan Suruhanjaya Tenaga, maka Pemberi Maklumat akan dilindungi sepenuhnya di bawah dasar perlindungan pemberi maklumat atau Akta 711 bersesuaian.

 

PERLINDUNGAN KEPADA PEMBERI MAKLUMAT

ST perlu tahu identiti Pemberi Maklumat

Mana-mana kakitangan atau orang awam yang bercadang untuk membuat pendedahan atau pelaporan salah laku perlu untuk mendedahkan identitinya kepada ST untuk membolehkan ST memberi perlindungan di bawah dasar ini dan memudahkan ST mendapatkan penjelasan atau maklumat lanjut untuk tujuan siasatan. Pendedahan atau pelaporan tanpa nama pula, semua maklumat yang diadukan akan difailkan dan tindakan lanjut akan hanya dilakukan bila mempunyai bukti yang cukup untuk mengesahkan bahawa maklumat yang diterima adalah sahih.

Pemberi maklumat akan dilindungi

Seseorang pemberi maklumat yang membuat laporan atau pendedahan salah laku atau KTW dengan suci hati akan diberi perlindungan dan identitinya akan dirahsiakan setakat yang munasabah ianya dapat dilaksanakan. Perlindungan sedemikian akan tetap diberikan walaupun siasatan kemudiannya mendedahkan bahawa pemberi maklumat itu silap mengenai fakta, peraturan dan tatacara/ prosedur yang terlibat;

Semua laporan dan identiti pemberi maklumat akan dilayan dengan cara yang sulit dan sensitif. Laporan hanya akan didedahkan kepada orang-orang yang diberi kuasa untuk menjalankan siasatan ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan laporan itu. Identiti pemberi maklumat akan sentiasa disimpan dalam keadaan ini. Pemberi maklumat akan dimaklumkan mengenai keputusan dan tindakan yang diambil hasil daripada siasatan yang telah dijalankan ke atas setiap maklumat yang dikemukakan.

 

 

PEMBERITAHUAN

4.1    Pemberi maklumat akan dimaklumkan oleh Ketua Unit Integriti berhubung dengan hasil siasatan dan tindakan yang diambil, sekiranya ada, oleh pihak berkuasa disiplin yang berkenaan atau pihak berkuasa lain yang berkenaan.
4.2    Suruhanjaya Tenaga berhak untuk mengubah dasar ini dari masa ke semasa.