PENDAHULUAN

PENDAHULUAN


Unit Integriti Suruhanjaya Tenaga telah ditubuhkan pada 02 September 2019. Penubuhan ini adalah berdasarkan Arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2018, Siri 1 No. 1 Tahun 2018. Unit ini adalah salah satu unit di bawah Pengerusi Suruhanjaya Tenaga dan diselia oleh Jawatankuasa  Integriti Suruhanjaya Tenaga berdasarkan kepada Piagam Unit Integriti yang telah diluluskan Suruhanjaya Tenaga.

Dalam membantu hasrat Kerajaan agar Malaysia dikenali kerana integriti dan bukan rasuahnya, ST menyahut hasrat tersebut dengan merangsangkan suasana kerja yang berintegriti dan bebas rasuah. Untuk itu Dasar Pelindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Policy) ini telah dirangka dan selaras dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Adalah diharap ianya dapat menggalakkan pendedahan apa-apa kelakuan tidak wajar (KTW) dalam industri pembekalan elektrik dan gas berpaip bagi memerangi rasuah dan salah laku lain, dan seterusnya ST mencapai visi untuk menjadi sebuah badan kawal selia tenaga yang bertaraf dunia. 

 

TUJUAN PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT


Dasar ini bertujuan:

  1. menggalakkan dan membolehkan kakitangan ST, orang awam, pihak yang berkepentingan dan mana-mana pihak luar untuk menyalurkan maklumat serta membuat aduan atau pendedahan salah laku, kelakuan yang tidak beretika atau penyelewengan dalam ST yang berada dalam bidang kuasa ST mengikut tatacara yang ditetapkan. 

  2. sebagai saluran rasmi ST dalam menangani apa-apa pendedahan dengan pendekatan yang lebih bertanggungjawab dan wajar apabila mengesyaki akan sesuatu yang tidak betul akan berlaku, sedang berlaku dan telah berlaku;

  3. memudahkan pendedahan KTW berkaitan industri pembekalan elektrik dan gas berpaip dengan memaklumkan kaedah pengendalian dan proses pengurusan maklumat tentang apa-apa pendedahan KTW yang dilaporkan serta tindakan yang diambil;

  4. mendidik kakitangan ST supaya membudayakan etika kerja yang lebih berintegriti dan menyumbangkan kepada penambahbaikan ST dalam mengamalkan tadbir urus korporat yang terbaik dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan yang cepat, cekap dan berintegriti: dan juga membantu ST dalam menerapkan nilai-nilai kecemerlangan, keboleharapan, ketulusan dan kesaksamaan terhadap warga kerjanya dengan lebih berkesan; dan

  5. menyediakan ruang untuk kerahsiaan dan perlindungan kepada orang yang membuat pendedahan atau pelaporan kepada ST secara suci hati dari tindakan yang memudaratkan disebabkan pelaporannya.