Kadar AFA Bulanan
AFA merupakan mekanisme pelarasan bulanan yang mengambil kira perubahan harga bahan api dan kos lain yang berkaitan dengan penjanaan elektrik berbanding andaian kos asas yang telah ditetapkan di bawah RP4. Pelarasan ini menentukan kadar surcaj atau rebat AFA yang dikenakan kepada pengguna, bergantung pada perubahan kos penjanaan elektrik.
Mekanisme ini juga membolehkan kesan turun naik kos tenaga di pasaran global yang berada di luar kawalan utiliti dan Kerajaan, diuruskan secara lebih teratur dan telus, dengan mengambil kira kepentingan pengguna serta usaha mengurangkan tekanan peningkatan kos tenaga terhadap rakyat.
Halaman ini menyediakan maklumat terkini mengenai kadar AFA bulanan yang terpakai kepada pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia, bagi membolehkan pengguna memahami perubahan kos penjanaan elektrik dan kesannya terhadap bil elektrik.
Kadar AFA bagi Bulan Ini
| Tempoh | Kadar AFA |
|---|---|
| 1 hingga 30 November 2026 | RM0.0360/kWj |
Carta Kadar AFA Bulanan
Analisis Kadar AFA Bulanan
Faktor yang Mempengaruhi Kadar AFA
Penetapan kadar AFA bagi November 2026 ini dilaksanakan di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) menerusi rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR). Ia mengambil kira unjuran kos penjanaan elektrik bagi tempoh berkenaan, pelarasan perbezaan kos sebenar serta langkah mitigasi untuk mengurangkan kesan perubahan kos kepada pengguna.
Antara faktor utama yang mempengaruhi unjuran kos penjanaan tersebut ialah:
i. peningkatan harga pasaran arang batu dan gas asli berbanding andaian harga asas RP4; dan
ii. keperluan penggunaan bahan api alternatif sebagai langkah kontingensi bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan tenaga elektrik kepada pengguna.
Selain itu, perubahan kadar pertukaran mata wang asing serta pelarasan perbezaan kos sebenar turut diambil kira dalam penilaian kadar AFA.
ST akan terus memantau perkembangan kos penjanaan elektrik dan meneliti langkah mitigasi yang bersesuaian bagi memastikan pelaksanaan AFA mengambil kira kepentingan pengguna, di samping membolehkan kos pembekalan elektrik dipulihkan secara munasabah.
Maklumat lanjut mengenai tarif elektrik dan mekanisme AFA boleh dirujuk melalui laman web rasmi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di https://www.mytnb.com.my/tariff dan Single Buyer di https://www.singlebuyer.com.my/Generation-Info-Tariff/automatic-fuel-adjustment-(afa). Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pelaksanaan AFA dan kesannya terhadap bil elektrik boleh diajukan kepada TNB melalui saluran khidmat pelanggan rasmi TNB.