Keperluan Perundangan

Keperluan Undang - Undang

Keperluan Undang-Undang

Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447)

Seksyen 21: Pendaftaran Pepasangan

(1) Sebelum siapnya sesuatu pepasangan baru, selain pepasangan yang dipunyai oleh pihak berkuasa bekalan atau pepasangan yang dikendalikan atau dipunyai oleh pemegang lesen, pemunya pepasangan hendaklah mengemukakan, dengan pendua, kepada Suruhanjaya, suatu permohonan bagi pendaftaran dalam bentuk yang ditetapkan.

(1A) Suruhanjaya hendaklah menyebabkan pemeriksaan dan ujian dibuat dalam tempoh yang ditetapkan dan, jika pepasangan itu memuaskan kehendak akta ini, hendaklah mengeluarkan atau menyebabkan supaya dikeluarkan Perakuan Pendaftaran dalam bentuk yang ditetapkan.

(2) Tiada seorang pun boleh memiliki atau mengendalikan sesuatu pepasangan, selain suatu pepasangan yang dikecualikan di bawah subseksyen (1) melainkan jika pepasangan itu didaftarkan pada suatu Perakuan Pendaftaran yang sah.

(3) Perakuan Pendaftaran hendaklah diserahkan balik oleh pemunya atau pemegang lesen kepada Suruhanjaya untuk dikanselkan jika pepasangan itu dikehendaki untuk digunakan lagi. Selepas itu, jika pemunya atau pemegang lesen ingin mengendalikan pepasangan itu semula, pepasangan tersebut hendaklah dikira dalam segala aspek seolah-olah usatu pepasangan baru.

(4) Suatu Perakuan Pendaftaran boleh dikanselkan mengikut peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Seksyen 53.

(5) Perakuan Pendaftaran tidak boleh dipindahmilikkan tanpa kebenaran Suruhanjaya.

 

Peraturan-peraturan Elektrik 1994

Bahagian II – Pendaftaran Pepasangan

Peraturan 3 – Permohonan bagi pendaftaran pepasangan.

(1) Melainkan jika dikecualikan oleh Menteri, permohonan bagi pendaftaran pepasangan hendaklah dalam Borang A yang ditetapkan dalam Jadual Pertama.

(2) Perakuan Pendaftaran hendaklah masing-masing dalam Borang B yang ditetapkan dalam jadual pertama

(3) Perakuan Pendaftaran hendaklah sah bagi tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun dari tarikh ia dikeluarkan.

(4) (Dipotong pada Pind. PU(A) 431/03)

 

Peraturan 4 – Fi bagi pendaftaran pepasangan.

Fi hendaklah dibayar bagi pengeluaran Perakuan Pendaftaran mana-mana pepasangan pada kadar yang ditetapkan dalam Bahagian I Jadual Kedua.

 

Peraturan 5 – Pemeriksaan dan ujian pepasangan

(1) Pemeriksaan dan ujian suatu pepasangan baru bagi tujuan pendaftaran hendaklah dibuat tidak lewat daripada dua puluh satu hari selepas diterima Borang A yang disebut dalam peraturan 3 dan notis munasabah bagi pemeriksaan dan ujian itu hendaklah diberikan secara bertulis kepada pemunya atau pengurusan bangunan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

(2) Apabila menerima notis yang dikeluarkan di bawah subperaturan (1), pemunya atau pengurusan pepasangan hendaklah menyebabkan persediaan bagi pemeriksaan dan ujian itu dibuat dan hendaklah hadir pada masa pemeriksaan dan ujian itu.

(3) Notis pemeriksaan dan ujia permulaan dan susulan hendaklah masing-masing dalam Borang D dan Borang E yang ditetapkan dalam Jadual Pertama dan hendaklah disampaikan sama ada secara sendiri kepada orang yang notis itu dialamatkan atau mengirimkan kepadanya secara pos berdaftar atau ditampalkan dengan jelas di banginan di mana pepasangan yang hendak diperiksa atau diuji itu terletak.

 

Peraturan 6 – Fi bagi pemeriksaan dan ujian pepasangan.

Fi hendaklah dikenakan bagi pemeriksaan dan ujian mana-mana pepasangan pada kadar yang ditetapkan dalam Bahagian II Jadual Kedua.

 

Peraturan 6A – Daftar.

(1) Suruhanjaya hendaklah menyimpan suatu Daftar yang dalamnya hendaklah dimasukkan nama dan butir-butir lain bagi tiap-tiap orang yang Perakuan Pendaftarannya dikeluarkan di bawah Peraturan 4.

(2) Maka hendaklah dikeluarkan daripada daftar nama dan butir-butir lain bagi tiap-tiap orang yang Perakuan Pendaftarannya telah dibatalkan di bawah Peraturan 7.

 

Peraturan 7 - Pembatalan Perakuan Pendaftaran Pepasangan.

(1) Suruhanjaya boleh membatalkan Perakuan Pendaftaran pepasangan yang dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan ini jika–

(a) Pepasangan itu tidak lagi dikehendaki untuk digunakan;

(b) Pepasangan itu didapati tak selamat untuk digunakan;

(c) Orang yang padanya Perakuan itu dikeluarkan menggunakannya bagi tujuan yang berlainan dengan tujuan Perakuan itu dikeluarkan; atau

(d) Orang itu telah melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan Akta dan Peraturan-Peraturan ini.

(2) Apabila Perakuan Pendaftaran suatu pepasangan dibatalkan oleh Suruhanjaya menurut subperaturan (1) orang yang kepadanya Perakuan itu telah dikeluarkan hendaklah memulangkannya kepada Suruhanjaya dalam masa empat belas hari selepas diberitahu secara bertulis tentang pembatalan itu.