Bangunan Suruhanjaya Tenaga
Strategi Reka Bentuk
Reka Bentuk Berprestasi Tinggi
Semasa di peringkat reka bentuk, simulasi komputer yang terperinci bagi bentuk berlian telah dijalankan untuk memastikan bahawa jangkaan cahaya siang dan prestasi tenaga dipenuhi. Untuk mengekalkan keselesaan visual penghuninya, pelbagai latihan simulasi cahaya siang diadakan bagi memastikan cahaya siang itu mencukupi dan diagihkan secara sama rata. Latihan ini memberi maklumat berguna mengenai langkah yang bersesuaian yang boleh diambil bagi mengurangkan penggunaan tenaga tanpa menjejaskan keselesaan penghuninya.
Penjimatan Tenaga dan Prestasi Bangunan
Indeks Tenaga Bangunan (BEI) merupakan pengiraan jumlah tenaga tahunan yang digunakan di dalam sesebuah bangunan dalam jam kilowatt (kWj), dibahagikan dengan keluasan lantai dalam meter persegi (m2). BEI bagi bangunan pejabat yang biasa di Malaysia adalah 210kWj/m2 setahun. Bangunan Berlian direka dengan BEI 85kWj/m2 setahun dengan penggunaan 2,800 jam – pengurangan sebanyak 65% dari segi penggunaan tenaga. Pada masa ini, purata BEI untuk bangunan ini adalah 65kWj/m2 setahun.
Empat Aspek Kualiti Alam Sekitar
Strategi reka bentuk Bangunan Berlian ini dirangkumkan melalui empat aspek utama iaitu Kecekapan Tenaga, Kecekapan Air, Kualiti Persekitaran Dalaman dan Kualiti Persekitaran Luar.
Mengapa Bangunan Direka Bentuk Sebagai Berlian
Reka bentuk berlian dipilih untuk bangunan ini kerana nilai-nilai falsafah dan praktikal permata itu, selain bagi melahirkan sebuah bangunan pejabat yang ikonik. Berlian melambangkan ketelusan, nilai yang tinggi dan kekukuhan; ciri-ciri yang mewakili peranan dan misi Suruhanjaya Tenaga sebagai sebuah badan kawal selia. Bentuknya yang unik adalah merupakan pendekatan reka bentuk optimum bagi mencapai kecekapan tenaga.
Kecekapan Tenaga
Fasad Yang Condong
Bentuk permukaan fasad (façade) yang condong membolehkan bangunan ini memberi teduhan kepada tingkat yang lebih rendah, mengelakkan cahaya matahari masuk secara terus ke dalam bangunan, dan tapak bangunan yang lebih kecil mewujudkan ruang yang lebih luas untuk lanskap.
The Sunken Garden Area
Sunken Garden Area yang terletak di aras bawah tanah berfungsi sebagai ruang bagi membekalkan pengudaraan semulajadi untuk kawasan tempat letak kenderaan di aras itu.
Orientasi Bangunan
Pembinaan bangunan ini turut mengambil kira tetapan matahari terbit dan terbenam, untuk mengurangkan kawasan yang terkesan oleh cahaya matahari secara langsung.
Fotovoltaik
Bangunan ini dilengkapi dengan panel fotovoltaik jenis filem nipis telluride, dengan jumlah kapasiti 71.4 kWp, disalurkan secara tidak langsung kepada sistem grid kebangsaan. Jumlah kapasiti yang dihasilkan ini dianggarkan untuk meliputi kira-kira 10% daripada keperluan tenaga bangunan.
Secara amnya, jumlah tenaga yang dijangka dihasilkan adalah 102,000 kWj setahun, bersamaan dengan penjimatan kos sebanyak RM40,000 setahun atau penghindaran pelepasan karbon dioksida sebanyak 63,000 kg setahun.
Pencahayaan – Semulajadi dan Lampu
Bangunan Berlian direka untuk memperoleh 50% daripada keperluan pencahayaannya dari cahaya semulajadi. Mahkota bangunan ini adalah jendela langit berbentuk ‘kubah berlian’ yang dibuat dari laminated tempered glass. Kubah tersebut dihiasi dengan bidai yang berfungsi untuk menapis dan menyebarkan cahaya siang bagi membekalkan cahaya yang sekata dan tanpa silau untuk ruang pejabat sekitar atrium.
Untuk atrium, saiz tingkap lebih besar bagi aras yang lebih rendah untuk memenuhi keperluan cahaya bagi aras tersebut. Penggunaan atrium ini juga dioptimakan dengan pemasangan panel pemantul Tannembaum (Tannenbaum reflector panels).
Muka bangunan ini dilengkapkan dengan low-emissivity glass (low-e glass) yang membenarkan cahaya siang masuk ke dalam bangunan di samping meminimumkan haba daripada matahari.
Reka bentuk tingkap yang terbahagi untuk semua bahagian luar fasad, dengan internal light shelf membantu membawa cahaya semulajadi ke dalam ruang kerja.
Lampu cekap tenaga sepert tiub kalimantang T5 digunakan di seluruh bangunan berbanding tiub kalimantang T8 seperti kebiasaannya. Gabungan dengan sensor cahaya siang membolehkan lampu ditutup apabila cahaya siang mencukupi, sekaligus dapat menjimatkan tenaga.
Panel yang membolehkan cahaya masuk menerusi bumbung (roof light trough) juga disediakan bagi membolehkan cahaya siang yang cukup masuk dan menerangi ruang lounge di tingkat tujuh.
Bumbung Konkrit Tertebat (Insulated Concrete Roof)
Untuk mengurangkan penyerapan haba di dalam bangunan, bahagian bumbung dilengkapi dengan penebat menggunakan papan dengan ketebalan 100mm, secara mendatar dan menegak.
Kecekapan Air
Kecekapan Air
- Pengumpulan Air Hujan (Rainwater Harvesting)
- Gegasan Air Yang Cekap (Efficient Water Fittings)
- Menggunakan Air Sinki Yang Telah Digunakan (Greywater) Untuk Mini Wetland
Air hujan yang dikumpulkan digunakan untuk mengepam tandas, digabungkan dengan gegasan air yang cekap seperti tandas dwipam, waterless urinals dan paip air yang dilengkapi dengan alat pengudaraan (aerator). Ini mengurangkan penggunaan air yang boleh diminum sebanyak lebih 65%. Untuk kecekapan air yang lebih optima, air yang telah digunakan (greywater) dari sinki digunakan semula untuk mengairi tanah lembab (mini wetland) di aras tanah.
Kualiti Persekitaran Dalaman
Keselesaan Terma melalui Radiant Cooling
Sistem penyejukan di dalam Bangunan Berlian disediakan melalui papak radiant cooling yang mempunyai air paip yang sejuk yang ditanam dalam papak konrit itu sendiri. Bangunan ini juga dilengkapkan dengan sistem pembekalan udara sejuk konvensional.
Memandangakan kapasiti tertinggi bangunan terletak di dalam jisim konkrit, penyejukan papak konkrit secara langsung dengan menanam paip air di dalamnya adalah cara yang paling cekap untuk menyejukkan jisim bangunan.
Kawalan Bunyi
Kelebihan menggunakan sistem penyejukan ini adalah kadar pengalihan udara dapat dikurangkan dengan ketara. Bunyi bising dari salurannya juga dikurangkan dengan ketara, sekaligus memperbaiki keselesaan akustik (acoustic comfort).
Penggunaan Material Mampan
Reka bentuk bangunan ini juga bertujuan untuk menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan produktif kepada penghuninya. Penggunaan sumber dikurangkan dengan tidak membuat siling gantung (suspended ceiling), kecuali untuk beberapa ruang kecil untuk menyembunyikan paip saluran. Ini mengurangkan jumlah material yang digunakan berbanding bangunan konvensional.
Papan plaster berlabel hijau (green labelled plasterboards) digunakan untuk siling dan pembahagi dalaman. Papan plaster ini mempunyai pelepasan sebatian organik meruap (volatile organic compound – VOC) yang rendah dan terdiri daripada 30% bahan kitar semula.
Permaidani yang digunakan juga berlabel hijau untuk pelepasan VOC yang rendah dan terdiri daripada sekurang-kurangnya 10% bahan kitar semula.
Cat untuk bahagian dalaman juga mempunyai pelepasan VOC yang rendah.
Stesen kerja mempunyai bahan yang melindungi daripada sinar ultra lembayung (ultra violet – UV).
Kualiti Persekitaran Luaran
Landskap dan Taman Luar
Landskap yang luas dan taman luar yang terbnam memastikan bukan sahaja ruang hijau tetapi juga menyediakan persekitaran yang sejuk dan teduh untuk penghuni. Ini, digabungkan dengan bumbung hijau membantu mengurangkan lagi haba bandar dan kesannya di mana kawasan hardskap dikurangkan dan digantikan dengan landskap hijau lembut.
Bangunan yang berhampiran atau dikelilingi kehijauan mempunyai suhu ambien (suhu persekitaran) yang lebih rendah berbanding bangunan yang jauh daripada kehijauan dan ia dilihat sebagai cara berkesan untuk menurunkan suhu ambien.
Perlindungan Alam Sekitar
Bahan Kandungan Kitar Semula
Penggunaan kandungan kitar semula, seperti yang ditakrifkan mengikut ISO 14021 dalam bangunan telah ditetapkan semasa fasa reka bentuk. Kandungan kitar semula bahan yang digunakan dalam bangunan merangkumi sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah nilai projek.
Penyimpanan dan Pengumpulan Bahan Kitar Semula
Tong kitar semula disediakan di setiap stesen kerja penghuni dan setiap bilik pencetak. Bahan ini kemudiannya dikumpulkan setiap hari oleh petugas kebersihan dan disimpan di tong kitar semula yang diperuntukkan untuk kutipan secara mingguan oleh syarikat kitar semula yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan.
Tempat Letak Kenderaan Hijau Keutamaan
Lot tempat letak khas disediakan untuk kenderaan hijau, sekali gus menggalakkan penggunaan kenderaan sedemikian dan perkongsian kenderaan. Rak basikal dan bilik mandi juga disediakan dalam bangunan bagi menggalakkan penghuni yang tinggal dalam kawasan berhampiran untuk berbasikal dan bukannya memandu ke tempat kerja.
Lawati Bangunan Berlian
Hari: Selasa sahaja
Masa: 10:00 pagi – 12:00 tengah hari
Anda boleh emel visit@st.gov.my untuk pertanyaan




