Garis Panduan Untuk Membuat Pendedahan/Laporan

Takrifan

"Kelakuan Tidak Patut" bermaksud apa-apa kelakuan, aduan, maklumat atau pendedahan yang, jika terbukti, akan menjadi satu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah (selepas ini dirujuk sebagai salah laku).


"Maklumat Sensitif" merangkumi:

  1. maklumat berhubung identiti, pekerjaan, alamat kediaman, alamat tempat kerja atau keberadaan:
    1. seorang pemberi maklumat; dan
    2. seseorang yang terhadapnya pendedahan salah laku telah dibuat oleh pemberi maklumat;
  2. maklumat yang didedahkan oleh pemberi maklumat; dan
  3. maklumat yang, sekiranya didedahkan, boleh mendatangkan bahaya kepada mana-mana orang.


"Pegawai Diberi Kuasa" bermaksud mana-mana pegawai Suruhanjaya Tenaga yang dilantik dan diberi kuasa untuk menjalankan siasatan dan penguatkuasaan.

Membuat Laporan

Pelaporan

  1. Bagi pendedahan yang dibuat secara bersemuka, pemberi maklumat hendaklah hadir di tempat yang dianggap sesuai dan selamat, seperti yang dipersetujui, bagi memberikan maklumat berhubung aduan yang ingin dibuat.
  2. Bagi pendedahan yang dibuat melalui e-mel, sistem aduan integriti atau surat, pengurusan dan akses kepada maklumat tersebut hendaklah dikawal hanya oleh Pegawai Diberi Kuasa.
  3. Pemberi maklumat mungkin dikehendaki hadir secara bersemuka atau dihubungi, tertakluk kepada keadaan, untuk memberikan maklumat lanjut atau penjelasan berhubung pendedahan yang sedang disiasat.
  4. Seorang pemberi maklumat boleh membuat pendedahan secara lisan atau bertulis di mana, dengan bertindak atas niat baik dan atas alasan yang munasabah, beliau percaya bahawa salah laku telah berlaku, sedang berlaku atau berkemungkinan akan berlaku.
  5. Pendedahan boleh dibuat oleh pemberi maklumat pada bila-bila masa selepas memperoleh maklumat atau dokumen yang berkait.
  6. Apabila pemberi maklumat benar-benar percaya bahawa salah laku atau salah guna kuasa tersebut tidak dapat didedahkan secara wajar kepada pihak berkuasa berkenaan, pemberi maklumat boleh membuat pendedahan secara sukarela dan hendaklah diberi pertimbangan sewajarnya untuk perlindungan di bawah dasar ini.
     

Konflik Kepentingan

 Pendedahan boleh dibuat secara terus kepada Ketua Unit Integriti dalam mana-mana keadaan berikut:

  1. di mana pendedahan melibatkan salah laku oleh Pegawai Diberi Kuasa; atau
  2. di mana pendedahan tidak melibatkan Pegawai Diberi Kuasa, tetapi pemberi maklumat percaya bahawa Pegawai Diberi Kuasa mempunyai kepentingan peribadi terhadap mana-mana orang yang terlibat dalam salah laku yang dirujuk dalam pendedahan tersebut.
  3. dalam keadaan di atas, Ketua Unit Integriti boleh mengecualikan Pegawai Diberi Kuasa daripada mengendalikan pendedahan tersebut dan melantik mana-mana pegawai yang dianggap sesuai dan berkelayakan sebagai Pegawai Khas Diberi Kuasa untuk menguruskan pendedahan dan melindungi pemberi maklumat di bawah dasar ini.

Sekiranya pendedahan melibatkan Ketua Unit Integriti, pemberi maklumat boleh menyerahkan maklumat tersebut kepada Pegawai Diberi Kuasa, dan Pegawai Diberi Kuasa hendaklah menyerahkan maklumat / pendedahan tersebut secara terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif tanpa merujuknya terlebih dahulu kepada Ketua Unit Integriti.


Prosedur Penerimaan Aduan / Maklumat / Pendedahan 

Laporan awal mungkin mengandungi syor-syor, termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:

  1. pendedahan ditolak kerana tidak berasas, mengandungi maklumat palsu, atau maklumat yang diberikan tidak mencukupi;
  2. pendedahan dipertimbangkan untuk tindakan di bawah mana-mana prosedur lain yang dianggap sesuai;
  3. mengarahkan agar siasatan lanjut dijalankan ke atas pendedahan tersebut; atau
  4. rujukan kepada polis atau pihak berkuasa lain yang berkait.

 

  • sekiranya aduan / maklumat / pendedahan yang diterima merupakan suatu kesalahan jenayah, ia hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa yang berkaitan, seperti PDRM, SPRM atau lain-lain; dan
  • sekiranya aduan / maklumat / pendedahan yang diterima itu berkait dengan Suruhanjaya Tenaga, pemberi maklumat hendaklah dilindungi sepenuhnya di bawah dasar perlindungan pemberi maklumat ini atau Akta 711 yang berkenaan.

Perlindungan Pemberi Maklumat

ST mesti mengetahui identiti Pemberi Maklumat

Mana-mana pekerja atau orang awam yang berhasrat untuk membuat pendedahan atau laporan salah laku mesti mendedahkan identitinya kepada ST bagi membolehkan ST memberikan perlindungan di bawah dasar ini dan memudahkan ST mendapatkan penjelasan atau maklumat lanjut bagi tujuan siasatan. Pendedahan tanpa nama tidak akan dilayan dan tindakan lanjut hanya akan diambil sekiranya terdapat bukti yang mencukupi untuk mengesahkan bahawa maklumat yang diterima itu tulen.

Pemberi maklumat akan dilindungi

Pemberi maklumat akan dilindungi — Seorang pemberi maklumat yang membuat laporan atau pendedahan salah laku dengan niat baik hendaklah diberikan perlindungan, dan identitinya hendaklah dirahsiakan setakat yang munasabah dan praktikal. Perlindungan akan terus diberikan walaupun siasatan susulan mendapati bahawa pemberi maklumat tersebut telah tersilap berhubung fakta, peraturan, atau prosedur yang terlibat.

Semua laporan dan identiti pemberi maklumat hendaklah dikendalikan secara cermat dan sulit. Laporan hanya boleh didedahkan kepada pegawai yang diberi kuasa untuk menjalankan siasatan ke atas perkara yang dilaporkan. Identiti pemberi maklumat hendaklah kekal sulit dalam apa jua keadaan. Pemberi maklumat hendaklah dimaklumkan mengenai keputusan dan tindakan yang diambil hasil daripada siasatan yang dijalankan berhubung maklumat yang didedahkan.
 

Pemakluman

  • 4.1 Pemberi maklumat hendaklah dimaklumkan oleh Ketua Unit Integriti mengenai hasil siasatan dan tindakan yang diambil, jika ada, oleh pihak berkuasa tatatertib berkenaan atau pihak berkuasa lain yang berkait.
  • 4.2 Suruhanjaya Tenaga berhak untuk meminda dasar ini dari semasa ke semasa.
     

    Infographic