Pencarian Wira Bijak Tenaga 2026
Overview
Generasi Bijak Tenaga, Wira Masa Depan Kita
Suruhanjaya Tenaga (ST), sebagai rakan strategik Malaysia Energy Literacy Program (MELP), memperkenalkan Pencarian Wira Bijak Tenaga 2026, sebuah pertandingan literasi tenaga peringkat kebangsaan yang bertujuan melahirkan generasi muda yang lebih peka, berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap penggunaan tenaga secara cekap, selamat dan lestari.
Program ini dilaksanakan melalui pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan telah mendapat kelulusan pengiktirafan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi penyertaan murid, tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang berkuat kuasa.
Program ini juga merupakan kesinambungan dan penjenamaan baharu kepada pertandingan Energy Efficiency Challenge (EE Challenge) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014 sehingga 2025 oleh Suruhanjaya Tenaga. Melalui pendekatan baharu ini, Pencarian Wira Bijak Tenaga 2026 diperluaskan dengan pengisian yang lebih segar, interaktif dan menyeluruh, merangkumi aspek literasi tenaga, kecekapan tenaga, keselamatan elektrik dan gas, teknologi hijau serta peranan generasi muda dalam menyokong agenda peralihan tenaga negara.
Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MELP dalam memperkukuh tahap literasi tenaga dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah, selaras dengan aspirasi negara ke arah peralihan tenaga dan pembangunan mampan.
Dua Kategori Utama Pertandingan
Wira Tenaga Muda (Sekolah Rendah)
- Terbuka kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6.
- Literasi asas tenaga.
- Kesedaran keselamatan elektrik dan gas.
- Pengenalan simbol keselamatan.
- Amalan penggunaan tenaga secara cekap di rumah dan sekolah.
Wira Inovasi Tenaga (Sekolah Menengah)
- Terbuka kepada murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.
- Inovasi dan teknologi tenaga.
- Teknologi hijau.
- Penyelesaian masalah berkaitan tenaga.
- Pengurusan tenaga secara lestari.
- Peranan generasi muda dalam menyokong masa depan tenaga negara.
Format Pertandingan
- Saringan awal kuiz dalam talian.
- Cabaran penghasilan video kreatif.
- Peringkat akhir melibatkan pembentangan oleh finalis terbaik.
Pengiktirafan dan Hadiah
- Semua murid yang menyertai pertandingan ini akan menerima lencana digital (digital badges) melalui platform DELIMa.
- Peserta yang layak juga berpeluang memperoleh pengiktirafan PAJSK tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang ditetapkan.
- Peserta berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk Simpan SSPN Prime.
- Lencana khas “Wira Bijak Tenaga” turut diberikan kepada peserta dan finalis.
Membina Generasi Celik Tenaga
- ST berharap dapat memupuk budaya penggunaan tenaga secara berhemah sejak usia muda.
- Program ini menjadi platform mencungkil bakat dan idea generasi muda dalam mendepani cabaran tenaga masa hadapan.
- Orang ramai, ibu bapa, guru dan pihak sekolah dialu-alukan untuk menyokong penyertaan murid.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut dan penyertaan boleh diakses melalui pautan bit.ly/WiraBijakTenaga .