Pendaftaran sebagai Orang Kompeten
Permohonan
Permohonan bagi pensijilan dan pendaftaran Orang Kompeten Gas boleh dikemukakan melalui Sistem Permohonan Dalam Talian (OAS). Gunakan pautan di sebelah kanan untuk memulakan permohonan.
Kategori Orang Kompeten Gas
Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997 memperuntukkan dengan jelas syarat kelayakan, penilaian kompetensi dan skop kerja bagi orang kompeten. Terdapat 5 kelas kompetensi orang kompeten gas seperti berikut:
- Jurutera Gas
- Penyelia Kejuruteraan Gas
- Tukang Pasang Gas Kelas I
- Tukang Pasang Gas Kelas II
- Tukang Pasang Gas Kelas III
Keperluan Minimum dan Pengalaman
- Calon bagi Jurutera Gas hendaklah memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan, berdaftar sebagai jurutera profesional dengan Lembaga Jurutera, dan mempunyai pengalaman kerja tidak kurang daripada 2 tahun dalam kerja saluran paip gas dan/atau pepasangan gas.
- Calon bagi Penyelia Kejuruteraan Gas hendaklah memiliki ijazah atau diploma dalam bidang kejuruteraan dan mempunyai pengalaman kerja tidak kurang daripada 2 tahun dalam kerja saluran paip gas dan/atau pepasangan gas.
- Calon bagi Tukang Pasang Gas Kelas III hendaklah mempunyai kelayakan akademik yang sesuai sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya dan mempunyai pengalaman kerja tidak kurang daripada 1 tahun dalam kerja saluran paip gas dan/atau pepasangan gas.
- Calon bagi Tukang Pasang Gas Kelas II hendaklah mempunyai pengalaman kerja tidak kurang daripada 2 tahun sebagai Tukang Pasang Gas Kelas III.
- Calon bagi Tukang Pasang Gas Kelas I hendaklah mempunyai pengalaman kerja tidak kurang daripada 2 tahun sebagai Tukang Pasang Gas Kelas II.
Sebelum diperakui sebagai orang kompeten, calon hendaklah menduduki peperiksaan kompetensi bertulis dan temu duga yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tenaga.
Walau bagaimanapun, calon yang lulus kursus kejuruteraan gas yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga, seperti kursus gas yang dianjurkan oleh Gas Technology Centre, Universiti Teknologi Malaysia dan Institut Kemahiran MARA, boleh diberikan pengecualian oleh Suruhanjaya daripada menduduki peperiksaan bertulis.
Skop kerja bagi orang kompeten gas adalah seperti berikut:
- Pengendorsan pelan saluran paip gas dan pepasangan gas;
- Pengendorsan sijil penyiapan saluran paip gas dan pepasangan gas;
- Pengendorsan sijil ujian saluran paip gas dan pepasangan gas;
- Pembaikan saluran paip gas dan pepasangan gas; dan
- Penyelenggaraan saluran paip gas dan pepasangan gas.
Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997 menyatakan bahawa setiap kerja pada saluran paip gas dan pepasangan gas hendaklah diselia oleh orang kompeten yang digajikan oleh Kontraktor Gas yang menjalankan kerja pemasangan tersebut.
Pendaftaran sebagai Orang Kompeten Gas
- Bagi memastikan penyeliaan yang berkesan terhadap aktiviti mereka, orang kompeten gas hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum mereka boleh menjalankan apa-apa kerja.
- Pendaftaran orang kompeten gas adalah sah bagi tempoh 12 bulan.
- Pembaharuan pendaftaran hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum tarikh luput.
Kursus Bertauliah
- Kursus yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga:
- (a) Gas Technology Centre (GASTEG), Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, Johor
Tel: 07-5535653- Kursus-kursus ini dijalankan secara separuh masa.
- Kursus Pengagihan Gas bagi Jurutera Gas dan Penyelia Kejuruteraan Gas
- Kursus Pengagihan Gas bagi Tukang Pasang Kelas I
- Kursus Pengagihan Gas bagi Tukang Pasang Kelas II
- Kursus Pengagihan Gas bagi Tukang Pasang Kelas III
- (b) Institut Kemahiran MARA (IKM), Johor Bahru, Johor. Tel: 07-2361129. Kursus ini dijalankan secara sepenuh masa.
- Kursus Tukang Pasang Kelas I
Fi
(a) Fi peperiksaan bagi sijil kompetensi:
| Pensijilan | Fi |
| Jurutera Gas | RM150 |
| Penyelia Kejuruteraan Gas | RM100 |
| Tukang Pasang Gas Kelas I, II dan III | RM50 |
(b) Fi pendaftaran:
| Pensijilan | Fi |
| Jurutera Gas | RM150 |
| Penyelia Kejuruteraan Gas | RM100 |
| Tukang Pasang Gas Kelas I, II dan III | RM50 |