Perundangan

Adakah terdapat sebarang pengecualian daripada peruntukan undang-undang bekalan tenaga yang disebutkan di atas?

Di bawah seksyen 54 Akta Bekalan Elektrik 1990, Menteri boleh melalui pemberitahuan dalam Warta mengecualikan mana-mana pepasangan atau sebahagian daripadanya, yang dimiliki atau dikendalikan oleh atau bagi pihak mana-mana pihak berkuasa bekalan atau mana-mana kelas pepasangan, loji atau peralatan tertentu yang lain daripada peruntukan Akta tersebut.

Melalui Perintah Pengecualian P.U.(B) 156/1994 yang berkuat kuasa mulai 1.4.1994, Menteri mengecualikan:

  • mana-mana orang yang menggunakan, mengendalikan atau mengoperasikan atau dibenarkan untuk digunakan, dikendalikan atau dioperasikan mana-mana pepasangan yang menggunakan sumber penjanaannya sendiri dan kapasiti penjana tersebut adalah 5 kilowatt atau kurang, daripada keperluan lesen;
  • mana-mana orang yang bukan pemilik atau pengendali pepasangan yang menerima bekalan elektrik daripada pemegang lesen atau pihak berkuasa bekalan dengan penjana yang disambungkan untuk membekalkan elektrik sedia sebagai simpanan sekiranya sumber bekalan utama gagal, atau pemilik atau pengendali pepasangan yang menerima bekalan elektrik daripada pemegang lesen atau pihak berkuasa bekalan pada voltan 11,000 volt atau lebih, daripada keperluan pendaftaran pepasangan tersebut; dan
  • mana-mana orang yang tidak mengendalikan atau mengoperasikan atau tidak mengawal –
    - mana-mana pepasangan berlesen;
    - mana-mana pepasangan atau loji dan peralatan elektrik yang beroperasi pada voltan lebih tinggi daripada voltan rendah;
    - mana-mana pepasangan atau loji dan peralatan elektrik yang beroperasi pada voltan rendah dan menerima bekalan elektrik melalui suis alat kelui (switchgear) berkadaran 100 ampere atau lebih; atau
    - mana-mana pepasangan atau loji dan peralatan elektrik yang menjana lebih daripada 5 kilowatt elektrik, daripada keperluan mempunyai kelayakan dan perakuan kompetensi.

Melalui Perintah Pengecualian P.U.(B) 324/2006 yang berkuat kuasa mulai 2.1.2002, Menteri mengecualikan mana-mana pepasangan yang dimiliki atau dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan daripada:

  • pembayaran fi pendaftaran bagi pengeluaran Perakuan Pendaftaran atau pembaharuannya bagi pepasangan tersebut;
  • pembayaran fi bagi pemeriksaan dan pengujian pepasangan tersebut bagi tujuan pendaftaran pepasangan tersebut.

Di bawah seksyen 42 Akta Bekalan Gas 1993, Menteri boleh melalui pemberitahuan dalam Warta mengecualikan mana-mana orang atau kelas orang daripada keperluan untuk dilesenkan di bawah Akta tersebut dan/atau daripada keperluan kerja memasang, membina, menyelenggara, membaiki atau mengendalikan mana-mana saluran paip gas atau pepasangan atau sebahagian daripadanya untuk dijalankan atau diselia dan disahkan oleh orang kompeten.

Melalui Perintah Pengecualian P.U.(B) 307/2012 yang berkuat kuasa mulai 30.7.2012, Menteri mengecualikan mana-mana pepasangan yang dilesenkan di bawah Seksyen 9 Akta tersebut daripada pendaftaran pepasangan tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 21 Akta tersebut.