Memahami Penstrukturan Tarif Elektrik
Apakah yang dimaksudkan dengan Penstrukturan Tarif Elektrik sebagaimana yang telah diumumkan oleh Kerajaan pada 20 Jun 2025?
Penstrukturan Tarif Elektrik merujuk kepada semakan dan penambahbaikan struktur tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
Di bawah RP4, tiga (3) komponen utama distruktur semula:
1. Kadar purata tarif asas– ditetapkan pada 45.40 sen/kWj;
2. Struktur tarif elektrik baharu – dengan komponen caj yang dipecahkan kepada Caj Tenaga, Caj Kapasiti, Caj Rangkaian dan Caj Peruncitan; dan
3. Mekanisme pelarasan kos bahan api secara automatik (Automatic Fuel Adjustment – AFA) secara bulanan.