Sistem Akses Pihak Ketiga (TPA)

Bagaimanakah Suruhanjaya Tenaga akan memastikan wujudnya persekitaran yang saksama?

Pertama, peruntukan yang melarang tingkah laku anti-persaingan telah dimasukkan ke dalam Akta Bekalan Gas 1993. Di bawah peruntukan ini, penyertaan ke dalam perjanjian anti-persaingan serta apa-apa penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran adalah dilarang sama sekali dan sebarang pelanggaran larangan ini akan menyebabkan pihak yang melanggar dikenakan denda yang besar.

Seterusnya, Suruhanjaya Tenaga akan membangunkan dan mengeluarkan Kod TPA yang mengandungi prinsip-prinsip standard bagi akses kepada kemudahan gas. Suruhanjaya Tenaga juga akan meluluskan pengaturan akses yang diwujudkan oleh pemilik/pengendali kemudahan gas, yang mengandungi terma dan syarat bagi mengakses kemudahan gas tersebut. Secara keseluruhannya, Kod dan pengaturan akses ini akan memastikan semua pemain tertakluk kepada prosedur, terma dan syarat yang sama serta telus bagi penggunaan yang serupa terhadap setiap kemudahan gas, dan tidak terjejas oleh hakikat bahawa mereka tidak memiliki atau tidak bergabung dengan kemudahan tersebut.

Suruhanjaya Tenaga juga akan mengeluarkan Garis Panduan dari semasa ke semasa berkaitan persaingan untuk melengkapi Akta dan Kod TPA. Pada masa ini, Garis Panduan Persaingan bagi Pasaran Gas Malaysia Berkaitan Takrifan Pasaran, Perjanjian Anti-Persaingan dan Penyalahgunaan Kedudukan Dominan telah sedia dan akan memberikan penjelasan lanjut mengenai tingkah laku anti-persaingan serta kaedah yang berkaitan untuk menentukan tingkah laku anti-persaingan.