Perundangan

Bolehkah sebarang pertikaian antara pengguna dan pemegang lesen dirujuk kepada Suruhanjaya Tenaga untuk keputusan?

Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990, mana-mana pihak kepada sebarang pertikaian berkaitan seksyen 24 hingga 29 Akta tersebut boleh merujuk pertikaian tersebut kepada Suruhanjaya Tenaga untuk keputusan, dan Suruhanjaya akan menentukan pertikaian tersebut serta membuat perintah di bawah seksyen 30 Akta tersebut. Sekiranya Suruhanjaya berpandangan wajar, pertikaian tersebut boleh ditentukan oleh penimbang tara yang dilantik oleh Suruhanjaya.

Sementara menunggu keputusan bagi sebarang pertikaian di bawah seksyen 24 hingga 29 Akta tersebut antara pemegang lesen dan seseorang yang memerlukan bekalan elektrik, pemegang lesen hendaklah terus memberikan bekalan tersebut sehingga pertikaian itu diputuskan. Sebarang perintah yang dibuat oleh Suruhanjaya boleh termasuk peruntukan yang menghendaki mana-mana pihak membayar kos dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Suruhanjaya atau penimbang tara, mengikut mana yang berkenaan, dalam menentukan pertikaian tersebut.

Di bawah Akta Bekalan Gas 1993, sekiranya timbul pertikaian antara pemegang lesen dan pengguna berkaitan seksyen 13 hingga 21, pertikaian tersebut boleh dirujuk kepada Suruhanjaya di bawah seksyen 29 Akta tersebut. Suruhanjaya

  • hendaklah menentukan pertikaian tersebut dan membuat perintah; atau
  • boleh memutuskan, dalam kes pertikaian kontraktual, bahawa pertikaian tersebut ditentukan mengikut mana-mana peruntukan bagi penentuan pertikaian di bawah perjanjian tersebut atau ditentukan oleh mahkamah; atau
  • hendaklah menentukan bahawa, dengan kelulusan Menteri, sebuah jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada 3 orang ahli dan diketuai oleh seseorang yang dilantik oleh Menteri dibentuk untuk menyiasat pertikaian tersebut.