Pulau Tenaga Hijau (PTH)
Apakah maksud Pulau Tenaga Hijau (PTH)?
Pulau Tenaga Hijau (PTH) ialah satu projek pelaksanaan sistem pembekalan elektrik ke pulau-pulau yang tidak bersambung dengan grid yang berteraskan penggunaan tenaga yang lebih lestari dan mesra alam. Projek ini akan dijalankan di Pulau Perhentian, Pulau Redang serta Pulau Tioman.
Apakah objektif Pulau Tenaga Hijau?
Tujuan utama projek PTH dijalankan adalah untuk menjadi projek perintis bagi pembekalan elektrik berasaskan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB). Terdapat tiga (3) teras utama bagi projek Pulau Tenaga Hijau ini iaitu:
- Peningkatan dayaharap sistem;
- Penggunaan teknologi smart grid; dan
- Pengurangan kos operasi pembekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Mengapakah Pulau Tenaga Hijau ini penting untuk dilaksanakan?
Projek PTH ini akan dijadikan model pulau pertama di Malaysia untuk sistem pembekalan elektrik berdasarkan sumber tenaga yang lebih lestari dan mesra alam sebelum dikembangkan ke pulau-pulau lain yang tidak bersambung dengan grid (offgrid). Kejayaan projek ini boleh dijadikan sebagai titik mula dan penanda aras dalam pembekalan tenaga lestari di pulau-pulau di negara ini di samping menyokong hasrat kerajaan dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Bagaimanakah Pulau Tenaga Hijau akan dilaksanakan?
Kerajaan akan menumpukan usaha untuk peralihan tenaga daripada kebergantungan kepada penjanaan kuasa berasaskan diesel kepada sumber yang lebih lestari serta mesra alam. Penggunaan sumber tenaga boleh baharu (TBB), pengenalan teknologi-teknologi berteraskan grid pintar serta penambahbaikan sistem retikulasi akan dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan tahap dayaharap sistem di pulau-pulau ini.
Apakah kebaikan dan impak positif Pulau Tenaga Hijau kepada pengguna dan negara?
Pengguna:
- Penjimatan kos operasi pembekalan elektrik yang menggunakan janakuasa diesel.
- Dayaharap sistem pembekalan elektrik yang lebih baik.
- Kecekapan dalam mengurus dan merancang penggunaan tenaga.
- Perangsang ekonomi industri kecil dan sederhana.
Negara:
- Pemeliharaan alam sekitar terutamanya terumbu karang.
- Peneraju low carbon footprint & smart energy di peringkat ASEAN.
- Perintis kegunaan Smart Grid dan tenaga lestari di pulau-pulau.
- Tarikan baharu kepada industri pelancongan.
- Pemacu sistem pendidikan yang berteraskan teknologi hijau dan teknologi baru.
Siapakah pihak utama yang terlibat dalam melaksanakan projek Pulau Tenaga Hijau ini?
Projek PTH adalah satu inisiatif Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bersama Suruhanjaya Tenaga yang bertindak sebagai agensi peneraju manakala TNB Distribution Network (DN) sebagai agensi pelaksana.
Adakah janakuasa diesel sedia ada masih diperlukan oleh pengusaha hotel?
Sistem pembekalan elektrik akan menjadi lebih berdayaharap selepas projek Pulau Tenaga Hijau dibangunkan. Oleh itu, janakuasa diesel sedia ada adalah digalakkan untuk dijadikan sebagai unit tunggu sedia (standby generator) sahaja.