Soalan Lazim

Sistem Akses Pihak Ketiga

Sistem TPA akan membolehkan mana-mana pihak untuk memperoleh akses dan menggunakan kemudahan-kemudahan gas yang terdapat di Malaysia di atas terma-terma dan syarat-syarat yang sama dengan pihak-pihak lain bagi penggunaan yang sama. Pada masa ini, terdapat tiga kemudahan gas yang termasuk di dalam skop TPA iaitu terminal penggasan semula, talian paip penghantaran dan talian paip pengagihan.

(a) Untuk memastikan bekalan gas yang mencukupi
Pengeluaran gas domestik yang berkurangan semenjak kebelakangan ini menyebabkan pengimportan gas menjadi perlu untuk memastikan bekalan gas yang mencukupi dan mapan bagi memenuhi permintaan negara yang semakin meningkat. Sehubungan dengan itu, satu platform di mana pelbagai pihak terlibat di setiap tahap dalam rantaian nilai gas di Malaysia perlu diwujudkan, dan platform itu mestilah:

  • memastikan dan mempertingkatkan persaingan yang berkesan antara pihak-pihak yang berkenaan dalam lingkungan rantaian nilai gas;
  • tidak bersifat diskriminasi antara pihak-pihak yang terlibat dalam rantaian nilai gas;
  • memastikan pengoperasian kemudahan-kemudahan gas yang berkaitan dalam rantaian nilai gas adalah cekap dan ekonomik; dan
  • membolehkan pihak-pihak yang berkaitan menjalankan kewajipan mereka dengan cekap.

(b) Untuk mewujudkan platform bagi persaingan yang sihat
Sistem TPA akan memastikan akses dan penggunaan kemudahan-kemudahan gas oleh semua pihak di atas terma-terma yang sama bagi penggunaan yang sama. Ini seterusnya akan memastikan kewujudan persaingan yang sihat dalam pasaran gas dengan mewujudkan persaingan yang adil di kalangan pihak-pihak yang terlibat dan seterusnya memberi manfaat kepada pengguna dalam bentuk harga gas yang berdaya saing.

(c) Untuk memberi ruang kepada pembangunan industri gas Malaysia
Sistem TPA akan memberi peluang kepada pihak-pihak yang baru untuk mengambil bahagian dalam pasaran gas Malaysia sebagai pembekal gas dengan menggunakan kemudahan-kemudahan gas untuk menghantar gas kepada pengguna.

Kejayaan pelaksanaan sistem TPA ini juga akan mewujudkan sistem pembekalan gas yang mapan dengan harga gas yang berdaya saing, dan seterusnya dapat menarik pelaburan baru ke Malaysia terutamanya dalam sektor pembuatan.

Sistem TPA akan dilaksanakan pada 16 Januari 2017. Tempoh penangguhan selama 12 bulan akan diberikan kepada pemain-pemain sedia ada untuk memohon lesen-lesen yang berkaitan. Sementara itu, pemain-pemain baru perlulah memohon dan mendapatkan lesen sebelum boleh menjalankan mana-mana dari 7 aktiviti yang dilesenkan seperti yang dinyatakan dalam Akta.

Akta Bekalan Gas 1993 adalah rangka kerja perundangan utama yang akan melaksanakan sistem TPA dan ianya diguna pakai di seluruh Malaysia kecuali negeri Sarawak. Walau bagaimanapun, Akta ini boleh dilaksanakan di Sarawak dengan kelulusan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Pelaksanaan sistem TPA akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga. Rajah 1 menunjukkan skop pengawalseliaan di bawah Akta Bekalan Gas 1993. Seperti yang dapat dilihat, Suruhanjaya Tenaga akan bertanggungjawab untuk mengawal selia aspek ekonomi dan teknikal bagi keseluruhan sistem TPA, tetapi hanya bertanggungjawab untukmengawal selia aspek keselamatan bagi aktiviti hiliran stesen pintu kota.

 

Bagi memastikan kawal selia yang mencukupi dan berkesan, Suruhanjaya Tenaga akan, antara lainnya, menjalankan fungsi-fungsi yang berikut:

  • Memastikan bekalan gas adalah mencukupi dan mapan melalui sistem TPA.
  • Memastikan akses kepada kemudahan-kemudahan gas yang munasabah dan relevan diberikan kepada pihak-pihak ketiga.
  • Melindungi hak-hak pihak-pihak ketiga atau pengguna berkenaan dengan keberterusan bekalan gas, penggunaan kemudahan-kemudahan gas, kualiti gas dan perkhidmatan yang disediakan oleh pemilik kemudahan gas.
  • Membangun dan menerbitkan Kod-kod, Garis-garis Panduan dan arahan-arahan yang berkaitan untuk kelancaran pelaksanaan sistem TPA.
  • Memastikan keselamatan pengguna dilindungi daripada bahaya yang wujud hasil daripada aktiviti pengagihan, peruncitan dan penggunaan gas.
  • Mempromosi kewujudan persaingan yang sihat di kalangan pemegang lesen yang berkaitan.
  • Menjalankan audit ke atas pemegang lesen, institusi, pengilang, pengimport dan kontraktor, yang mana berkenaan.

Sistem TPA merangkumi aktiviti-aktiviti berikut:

  • Pengimportan ke terminal penggasan semula, iaitu aktiviti membawa masuk gas asli cecair (LNG) ke dalam atau di dalam Malaysia dengan apa-apa cara selain melalui pindah kapal.
  • Penggasan semula, iaitu aktiviti menggaskan semula LNG termasuklah menerima dan menyimpan LNG dan seterusnya menghantar gas tersebut ke talian paip penghantaran.
  • Pengiriman, iaitu aktiviti menghantar gas ke premis pengguna oleh pemunya molekul gas melalui aturan yang dibuat bersama pemegang lesen penggasan semula, pemegang lesen pengangkutan atau pemegang lesen pengagihan bagi tujuan memproses dan menghantar gas tersebut.
  • Pengangkutan, iaitu aktiviti memiliki/mengendali talian paip penghantaran.
  • Pengagihan, iaitu aktiviti memiliki/mengendali talian paip pengagihan.
  • Peruncitan, iaitu aktiviti pengunaan gas untuk kegunaan sendiri atau penjualan gas kepada pengguna melalui sistem perpaipan milik pemegang lesen peruncitan.
  • Penggunaan gas, iaitu aktiviti menggunakan gas sebagai pemegang lesen gas persendirian di mana pemegang lesen tersebut menggunakan gas untuk kegunaan sendiri dan tidak mendapat bekalan daripada pemegang lesen peruncitan.

Tidak, Suruhanjaya Tenaga hanya akan mengawal selia aspek keselamatan pembekalan gas hiliran stesen pintu kota manakala JKKP akan terus mengawal selia aspek keselamatan pembekalan gas huluan stesen pintu kota.

Rangka kerja undang-undang bagi pelaksanaan sistem TPA terkandung dalam statut/ dokumen-dokumen berikut:

  • Akta Bekalan Gas 1993: Ini adalah Akta ibu yang mengawal selia aktiviti pembekalan gas berpaip di Malaysia dan juga memberi kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga untuk melaksanakan sistem TPA.
  • Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997: Peraturan-Peraturan ini mengandungi prosedur untuk Suruhanjaya Tenaga melaksanakan fungsi, kewajipan dan kuasanya seperti yang diperuntukkan di bawah Akta.
  • Kod-Kod TPA: Dokumen ini mengandungi prinsip-prinsip sistem TPA yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua pemilik dan pengguna kemudahan-kemudahan gas.
  • Garis panduan-garis panduan dan Arahan-arahan: Dokumen-dokumen ini dibangunkan sebagai rujukan/dokumen penjelasan untuk perkara/subjek yang berkaitan.

Mana-mana pihak yang berkelayakan yang bercadang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dilesenkan boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen. Suruhanjaya Tenaga akan mengeluarkan Garis Panduan Permohonan Lesen yang akan membantu pihak-pihak yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai keperluan yang perlu dipenuhi dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memohon lesen yang berkaitan.

Tidak, tiada had bilangan lesen yang boleh dimiliki oleh suatu pihak, tertakluk kepada syarat bahawa ia tidak akan mewujudkan konflik kepentingan dalam perlaksanaan tanggungjawab pemegang-pemegang lesen yang berkenaan.

Fi yang dikenakan adalah seperti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997.

Pertamanya, peruntukan-peruntukan yang melarang tingkah laku antipersaingan telah dimasukkan ke dalam Akta Bekalan Gas 1993. Di bawah peruntukan-peruntukan ini, memasuki perjanjian yang antipersaingan dan juga sebarang penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran adalah dilarang sama sekali dan sebarang pelanggaran terhadap larangan-larangan ini akan menyebabkan pihak yang melanggari dikenakan denda dalam amaun yang substantif.

Seterusnya, Suruhanjaya Tenaga akan membangun dan menerbitkan Kod-Kod TPA yang mengandungi prinsip-prinsip standard bagi akses kepada kemudahan-kemudahan gas. Suruhanjaya Tenaga juga akan meluluskan aturan akses (access arrangement) yang dibangunkan oleh pemilik/pengendali kemudahan-kemudahan gas yang akan mengandungi terma-terma dan syarat-syarat untuk memperoleh akses kepada kemudahan-kemudahan gas tersebut. Kod dan aturan akses juga akan memastikan semua pemain adalah tertakluk kepada prosedur-prosedur telus, terma-terma dan syarat-syarat yang sama untuk penggunaan yang sama di setiap kemudahan gas, dan tidak diprejudiskan oleh fakta bahawa mereka tidak memiliki atau mempunyai hubungan dengan kemudahan tersebut.

Suruhanjaya Tenaga juga akan mengeluarkan Garis panduan-garis panduan dari semasa ke semasa berhubung dengan
persaingan untuk melengkapkan Akta dan Kod-Kod TPA. Pada masa ini, Garis Panduan Persaingan untuk Pasaran Gas Malaysia Berhubung dengan Definisi Pasaran, Perjanjian Antipersaingan dan Penyalahgunaan Kedudukan Dominan telah dibangunkan dan akan memberi penjelasan lanjut mengenai tingkah laku antipersaingan dan kaedah yang berkaitan untuk menentukan tingkah laku antipersaingan.

Objektif sistem TPA adalah untuk mewujudkan situasi di mana harga gas kepada pengguna akhir adalah berdasarkan kepada “willing-buyer-willing-seller”, dengan mengambil kira persaingan yang sihat di kalangan pembekal-pembekal gas. Walau bagaimanapun, Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengawal selia harga gas untuk pengguna runcit sekiranya perlu untuk melindungi kepentingan pengguna runcit kerana mereka tidak mempunyai pilihan untuk membeli gas dari pembekal gas lain kecuali daripada pemegang lesen tertentu yang memiliki sistem perpaipan yang bersambung kepada pengguna tersebut

Suruhanjaya Tenaga akan menentukan tarif bagi penggunaan kemudahan-kemudahan gas. Tarif tersebut hendaklah munasabah untuk membolehkan kewangan yang mapan dan kualiti perkhidmatan yang baik oleh pemilik/pengendali kemudahan gas dan pada masa yang sama melindungi kepentingan pengguna.