Mengapakah sistem TPA diperkenalkan?
(a) Untuk memastikan keselamatan bekalan
Pengurangan pengeluaran gas domestik yang berlaku baru-baru ini memerlukan pengimportan gas untuk keselamatan dan kemampanan bekalan gas bagi memenuhi permintaan negara yang semakin meningkat. Oleh itu, satu platform yang melibatkan pelbagai pihak pada setiap peringkat rantaian nilai gas di Malaysia perlu diwujudkan dan platform tersebut mestilah:
- memastikan dan meningkatkan persaingan yang berkesan antara pihak-pihak yang berkaitan dalam rantaian nilai gas;
- bersifat tidak diskriminatif antara pihak-pihak yang berkaitan dalam rantaian nilai gas;
- memastikan operasi kemudahan gas yang berkaitan dalam rantaian nilai gas dijalankan secara cekap dan ekonomik; dan
- membolehkan pelaksanaan obligasi pihak-pihak yang berkaitan secara cekap.
(b) Untuk mewujudkan platform bagi persaingan yang sihat
Sistem TPA akan memastikan akses dan penggunaan kemudahan gas oleh semua pihak dengan terma dan syarat yang sama rata bagi penggunaan yang sama rata. Ini seterusnya akan memastikan wujudnya persaingan yang sihat dalam pasaran gas dengan mewujudkan persekitaran yang saksama antara pemain industri, yang pada akhirnya akan memberi manfaat kepada pengguna dalam bentuk harga gas yang kompetitif.
(c) Untuk menyediakan ruang bagi pertumbuhan industri gas Malaysia
Sistem TPA akan menyediakan peluang kepada pemain baharu untuk mengambil bahagian dalam pasaran gas Malaysia sebagai pembekal gas dengan menggunakan kemudahan gas untuk menyalurkan gas kepada pengguna.
Pelaksanaan sistem TPA yang berjaya juga akan menyediakan bekalan gas yang mampan dan harga gas yang kompetitif, serta seterusnya menarik pelaburan baharu ke Malaysia terutamanya dalam sektor pembuatan.