Borang Aduan

Anda mempunyai aduan berkaitan integriti? Klik butang di sebelah kanan untuk mengemukakan aduan anda dengan selamat melalui sistem rasmi kami.

Maklumat dan identiti pengadu akan dirahsiakan serta dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711]

Pengenalan

Unit Integriti Suruhanjaya Tenaga telah ditubuhkan pada 2 September 2019. Penubuhannya adalah berdasarkan Arahan YAB Perdana Menteri Bil. 1 Tahun 2018, Siri 1 Bil. 1 Tahun 2018. Unit ini merupakan salah satu unit di bawah Pengerusi Suruhanjaya Tenaga dan diselia oleh Jawatankuasa Integriti Suruhanjaya Tenaga, selaras dengan Piagam Unit Integriti yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Bagi menyokong aspirasi negara agar Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara yang berteraskan integriti dan bebas daripada rasuah, ST mendukung objektif ini dengan memupuk persekitaran kerja yang menjunjung integriti serta bebas daripada amalan rasuah. Dasar Perlindungan Pemberi Maklumat ini telah dibangunkan selaras dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Dasar ini bertujuan untuk menggalakkan pendedahan sebarang kelakuan tidak wajar dalam industri pembekalan elektrik dan gas melalui talian paip, termasuk rasuah dan salah laku lain, serta menyokong visi ST untuk menjadi pengawal selia tenaga bertaraf dunia.

 

Objektif Dasar Perlindungan Pemberi Maklumat

Dasar ini bertujuan untuk

  1. Menggalakkan dan membolehkan warga ST, orang awam, pihak berkepentingan serta mana-mana pihak luar menyalurkan maklumat dan mengemukakan aduan atau pendedahan berkaitan salah laku, tingkah laku tidak beretika atau penyelewengan dalam bidang kuasa ST, mengikut tatacara yang ditetapkan;
  2. Menjadi saluran rasmi ST untuk menguruskan pendedahan secara lebih bertanggungjawab dan sewajarnya apabila terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa kelakuan tidak wajar telah berlaku, sedang berlaku atau mungkin berlaku;
  3. Memudahkan pendedahan salah laku berkaitan industri pembekalan elektrik dan gas melalui talian paip dengan memperjelas saluran pelaporan dan proses pengurusan maklumat bagi pendedahan tersebut, serta tindakan susulan yang diambil;
  4. Mendidik warga ST untuk memupuk budaya integriti yang lebih kukuh serta menyumbang kepada penambahbaikan berterusan ST dalam mengamalkan tadbir urus korporat yang baik dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas, cekap dan berkesan; di samping menyokong ST dalam membudayakan nilai kecemerlangan, profesionalisme, integriti dan rasa hormat agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada pihak berkepentingan; dan
  5. Menyediakan saluran yang sulit dan dilindungi kepada individu yang membuat pendedahan atau laporan kepada ST dengan niat baik daripada sebarang tindakan yang memudaratkan akibat daripada pendedahan atau laporan tersebut.

Tatacara Pengendalian Pemakaian Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010